Sunday 26 May 2013

Perjalanan


"Aduh!" kaki aku tersepak batu. Leka sangat aku berjalan di pantai klebang malam-malam macam ni. Cepat betul masa berlalu, dulu berteman tapi kini solo. Masa yang betul-betul jauh meninggalkan aku atau aku yang masih berada di noktah yang sama? Perasaan penuh gelora di dada dan tanda tanya bermain difikiran. Sial itu, sial ni, semuanya kau sialkan. Sialan yang membawa aku ke sini mungkin?

Berjalan aku menuju ke kereta, seorang. Menghidupkan enjin kereta, tiada lagi tawa, tiada lagi teman untuk berborak, mencarut sambil mengundurkan kereta semua hanya tinggal sejarah. Kaki kanan memijak padel minyak, mata kerap juga memandang cermin untuk melihat tempat duduk belakang. Berbeza, tak sama seperti dulu. Gelak tawa, bahan-membahan semua hanya tinggal memori. Mungkin berhabuk dan mungkin juga dijaga rapi jauh disudut hati. Ah! bosan, sangat bosan. Ya, manusia yang hanya tahu merungut dan kesal dikemudian hari.

"Waktu ada dulu kau tak guna betul-betul, kau tak hargai. Dah takda baru kau nak kenang, baru kau nak masa tu ulang kembali". Tapi bukankah perasaan itu perlu untuk kita lebih belajar erti sebenar 'menghargai'. Mungkin penghargaan itu suatu benda yang kecil bagi kau. Dari kecil kau diajar, penghargaan itu satu benda yang sementara, kau dapat hadiah tempat pertama dalam kelas, kau jadi pelajar terbaik, kau johan olahraga, penghargaan yang kau selalu dapat tapi sampai sekarang kau sendiri sudah tak ambil peduli. Betul, kerana aku juga sama.

Hadiah hari jadi pertama kau? Apa dia? Aku lego gajah.

Mungkin juga disebabkan proses-proses dalam hidup kau yang terlalu klise membuatkan kau ambil remeh terhadap sesuatu perkara? Brader, dalam hidup ni mana ada benda yang tak klise. 

Jika kau diberi pilihan untuk berkahwin dengan Megan Fox atau Rosie Huntington, yang mana kau akan pilih? Ya, kau harus pilih saja, tak payah banyak cerita. Pilih dan terus kahwin, kau tak bercinta, tak berkasih, tak apa-apa. Hanya pilih berdasarkan nafsu dan kejelitaan saja.

Konklusi kau buat sendiri berdasarkan pemahaman kau, sebab kau bijak. Kalau kau bodoh macam beruk kau takkan ada di blog aku ni. 

Mata kuyu, terasa berat. Mengantuk pula, berhenti kejap di perhentian Nilai. Beli redbull, bakar sebatang rokok marlboro menthol. Sejuk, pawer dan menyenangkan. Terlihat disatu sudut, kereta viva putih, myvi putih. Teringat pula ke kawan-kawan lendu, pernah dulu kami berhenti di perhentian yang sama, tapi aku minum milo ais. Waktu itu aku senyum, ramai disekeliling, aku senyum entah kenapa. Aku senyum kosong, masa berlalu dan dibuang begitu saja. Tidak menikmati setiap saat yang ada sebaiknya. Sekarang aku asyik fikir untuk putar masa dan menikmati setiap detik pada waktu itu. Tapi tak boleh, aku bukan tuhan. Tuhan tak putar balik benda yang sama, tapi tuhan mengajar umatnya dengan mendidik dan dengan izinnya juga memberi peluang kedua dalam situasi yang berbeza.

Aku duduk ditepi parit tempat aku parking kereta, disitu aku duduk dan meneguk air redbull yang menyengat juga. Sambil dihembus asap dari marlboro tu jugalah tiba-tiba telefon aku berbunyi, pesanan ringkas dari maxis yang mengganggu detik-detik indah aku bersama kenangan yang cuba aku ingat kembali. Setan sungguh, habis lupa semua. Aku pijak tin redbull yang sudah kosong, kemek dan aku tendang. Puntung marlboro aku jentik dengan padu ke parit.

Teruskan perjalanan, ditemani lagu-lagu sama yang dimainkan di radio tiap-tiap hari, membuatkan aku terfikir. Aku boleh menang jika bertanding dengan stesyen radio "Lagu siapa yang paling banyak". Mereka ni dah takda lagu lain ke? Banyak saja lagu yang pawer-pawer aku dengar diluar sana, tapi tak pernah pula dimainkan di radio. Cuba mainkan lagu Tolong Jangan Pergi, mana tahu 'rating' radio tu naik, yang si Zack tu boleh tahan bangang juga, mana radio nak main, dia tu gemok serupa gampang, nyanyi lagu gedik. Ingat comel ke apa si Zack Merican tu, kalau ludah muka dia satgi baru dia tahu apa erti memegang prinsip.

Ni lagi satu benda yang aku tak faham, kau nak sebut pasal prinsip? Pegangan hidup? Kau sendiri dah tak main jipang, kau sendiri dah tak curi sticker dekat kedai runcit untuk lekat dekat basikal kau, mana hilang prinsip kau sebagai rider basikal dulu-dulu? Prinsip ni bagi aku dia berubah mengikut peredaran zaman, mengikut kemampuan kau. Benda yang berprinsip ni bagi aku sementara.

Ayah aku dulu cukup pantang kalau aku minum kopi, haram! Kalau nak rasa buluh hinggap di punggung, cubalah minum. Tapi aku masuk asrama masa tingkatan satu, hambek kau tiap-tiap malam pihak asrama menyediakan kopi dan biskut kering sebagai santapan malam. Hilang terus prinsip aku, terasa hero jugalah sekejap sebab dapat minum kopi tanpa rasa ragu. Terasa dewasa.

"terima kasih", baru sudah bayar tol di sg besi. 

Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi, biasanya waktu-waktu macam ni mama sudah mesej dan kadang-kadang 'call' terus. Yang bab call tu aku kena menahan sikit, dia punya meleter sangat pawer! Aku tak tipu. Tapi hari ni tak, mama tak mesej. Mungkin mama dah tidur.

"B janji dengan bby tau, jangan tinggal bby". Teringat pula aku ke bekas kekasih aku Ain Farhana, lucu juga zaman sekolah ni dulu, tapi apakan daya. Dialah juga cinta pertama aku. Kau kena ingat satu perkara, melayu mana yang berpegang pada janji? Aku dan Ain 'break' setelah dua tahun lebih juga kami bersama. Sebab apa? sebab aku yang bodoh, ya bodoh. Aku ke Elisayang entah berapa lama aku kenal, sudah berani aku ungkap rasa sayang. Aku dengan Elisa juga tak lama, kali ini dua-dua aku terlepas. Sebab aku tak tahu menghargai. Kesal, macam biasa aku cuma reti menyesal.

Tiba saja dijalan kuching, nak dekat sudah dengan selayang, saja aku lalu taman desa bakti. Eh lain pula tempat aku dibesarkan selama 16tahun ni, maju yang teramat. Aku pergi ke rumah Ain di Selayang Baru, gelap gelita. Tidur mungkin, WJY380 juga tiada. Abah ain pergi memancing barangkali. Aku terus memijak padel minyak dan menuju ke templer saujana.

Tiba saja aku di rumah, tiada lagi perdana, serena dan saga flx. Aku melangkah masuk. Aku senyum, aku duduk disofa. Aku tenangkan diri, sebak didada membuak. Aku tidak lagi mampu menahan. Aku memicit butang telefon dan pergi ke kalendar.

Tak perasan hari ini 14 April dan ia merupakan harijadi aku yang ke-35, sudah lama arwah mama dan ayah tinggalkan aku. Adik beradik tinggal bersama keluarga masing-masing. Rumah sahaja yang aku ada sebagai harta pusaka. Aku masih belum berkahwin. Aku tidak minum kopi, kerana itu saja akan membuatkan aku rasa aku anak yang soleh dan layak untuk berdoa kepada mama dan ayah. Aku tidak lagi tutup telefon dengan harapan mana tau terkeluar nama mama dan membebel pada aku suruh balik awal. Aku sudah tua, ain farhana aku tidak tahu ke mana. Semoga dia baik-baik saja bersama keluarga tercinta. Aku kini menjadi seorang guru di Sekolah Agama Menengah Rawang.

Aku menjadi guru kelas yang paling disayangi, kelas 5 Hanbali.

Pada suatu petang kami barisan guru dipanggil untuk menghadiri mesyuarat, dalam mesyuarat itu juga kami diberitahu bahawa pada minggu hadapan akan ada dua guru baru yang akan melaporkan diri dan mula mengajar. Dua-dua guru perempuan, seorang dari Pahang, seorang lagi dari Kelantan.

Hari isnin seperti biasa para guru akan duduk di hadapan, pelajar-pelajar berbaris seperti sebelum-sebelumnya. Aku mengantuk, kerap juga aku bangun berjalan ke blok, ke tandas, pusing-pusing sekitar kawasan sekolah, memerhati jika ada murid yang memonteng perhimpunan. Hilang sedikit rasa mengantuk, aku turun ke perhimpunan. Dalam perjalanan aku turun, aku terdengar suara perempuan yg sedang memberi ucapan "saya juga dulu belajar disini, habis sampai tingkatan lima". Aku menuju ke tempat duduk, lembut saja suara cikgu baru itu. Samar-samar muka dia, aku tidak nampak kerana guru tersebut menghadap para pelajar dan membelakangi kami para guru. 

"Oh ni cikgu baru?" aku tanya kepada ustaz disebelah aku. Ni pasti dari Pahang kerana tiada langsung terdengar dialag Kelantan walaupun sedikit.

"Saya berusia 31 tahun, masih belum berkahwin dan akan mengajar tingkatan 4 dan 5 dalam matapelajaran add math" sambung cikgu baru tersebut yang memakai baju kurung merah jambu dan bercorakkan tulip putih.

"ohh sekali dengan ana lah ustaz kalau tingkatan 5, siapa nama dia? ana tak sempat dengar" aku bersuara kepada guru disebelah aku, yang menjadi mangsa pada ketika itu.

Ustaz Rizal senyum pada aku sambil menepuk peha aku, "nama dia Ain Farhana..."


Wassalam,


No comments:

Post a Comment