Sunday 12 May 2013

Mama

1993


Hari ni 12/5/2013, hari Ahad, aku takde kelas. Aku duduk dirumah seperti orang yang tiada masa depan, entah aku ada pawer jenis apa sampai boleh tengok masa depan pun aku tak tahu.

"Hari-hari adalah hari ibu" "weyh,haram sambut hari ibu" "Boleh pesong akidah tahu tak". Ya, pawer budak-budak sekarang ni. Ada je musim yang nak membangkitkan isu, betul bahawa Mother's Day adalah khusus pada Ibu Gereja, tetapi jika dipandang pada satu aspek yang lain, kau betul ke nak 'celebrate' hari ibu gereja? Kalau kau orang islam semestinya tidak lah kan? Benda yang sangat lucu yang sering berlaku di fesbuk dan tewiter adalah isu-isu macam ni lah. Haram tu, haram ni, suka menghukum macam dia pula tuhan. 
Hey braderr dan sista, meh sini aku nak cakap. Segala benda yang kau buat bergantung pada niat, kalau niat kau memang untuk memperingati pengorbanan emak kau, tiada masalah. Jangan susahkan benda yang senang, islam itu mudah.

Aku sarankan siapa birthday dia pada Mother's Day ni, baik bunuh diri. Takut kalau hangpa sambut hari jadi, hangpa murtad, bodoh piang punya pemahaman.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada tanggal 14 April 1993 aku dilahirkan oleh mama di HBKL, menurut cerita orang tua-tua yang sangat ohsem dan makan garam dulu dari aku, mereka menceritakan kepada aku betapa susahnya sewaktu mama hendak melahirkan aku. Setelah aku selamat dilahirkan, mama masih belum 'stable' keadaannya. Mama mengalami pendarahan yang sangat teruk, pada waktu itu hospital bukan macam sekarang. Dulu-dulu hospital ni kira macam rumah zombie lah, kemudahan pun tak berapa nak pawer sangat, nurse pun standard mintak penampar, kalau nak nurse senyum kau kena bagi 10 juta hengget, 3 banglo mewah dan 8 das tembakan tepat di kepala.

Aku anak sulung, mama takde pengalaman melahirkan anak. Ayah aku pula pada waktu itu dah memang tak tentu arah, menggelabah ayah aku bila tengok muka mama yang pucat dan tak bermaya tu. Mujur pada waktu itu tok (nenek) ada, jadi tok pesan pada ayah "zan, pergi beli hati lembu, banyak sangat darah keluar ni". Tok kata, kalau makan hati lembu darah akan bertambah, kalau makan berlebihan boleh kena darah tinggi. Alhamdulillah, mama selamat. 

Mama selamat bukan kerana hati lembu, tetapi sebab Allah mahu panjangkan umur mama.

Aku berusia 4 tahun bila kali pertama aku dihantar ke tadika, berbaju biru kotak-kotak putih, berseluar biru, rambut disikat tepi. Aku rasa akulah paling hensem pada waktu itu, dengan beg sekolah power rangers yang warna-warni. Siapa yang ada beg power rangers waktu tu kira paling kacak lah, paling kaya, dan paling mintak kaki bila difikirkan balik.

Hari jadi pertama yang aku ingat juga pada tahun yang sama, aku dapat hadiah lego gajah. Memang seronok dia kau tak payah tanya, rasa macam mainan aku lah paling pawer waktu tu, lego gajah akulah yang paling hebat. Tiada siapa boleh tanding lego gajah aku, orang nak pinjam? memang takkan dapat.

Seperti budak-budak yang lain, tak sampai seminggu pun aku beromen dengan lego gajah tu. Entah kemana hilang pun aku tak tahu, ini semua punca permainan power rangers yang aku dapat dari membeli happy meal di mcdonald. McDonald punya saka pun satu macam juga dulu-dulu, kau ingat aku pergi mcdonald sebab nak makan? sebab lapar? Aku nak mainan lah natang! aku kumpul! lagi pawer dari mengumpul setem.

Sama macam mainan-mainan aku sebelum ni, aku dah bosan. Sewaktu aku berada di darjah satu, kehidupan semakin serius. Aku bawa seringgit ke sekolah, pergh! terasa macam hero kalau kau dapat pegang duit syiling berwarna emas dan letak didalam kocek baju belah kiri. Kau tahu tak antara hari-hari yang paling seram untuk kau lalui di alam persekolahan? HARI PENYERAHAN REPORT CARD. Itu hari yang paling aku benci selain dari hari aku bersunat, perasaan celaka yang ada dalam hati, gemuruh tak tentu pasal, hanya tuhan yang tahu. Bukan aku takut aku dapat tempat ke berapa didalam kelas, tetapi aku takut apa yang cikgu akan beritahu pada mama, bila berita sampai ke mama, sah-sah akan diketahui oleh ayah. Bila ayah dapat tahu, secara automatik mesti satu batang buluh akan hinggap dipunggung aku secara 'live' di depan angah yang pada waktu tu berusia 5 tahun. Si gampang yang ketika itu nak menyebut semut pun tidak reti, apa ke bangangnya dok 'cemut..cemut'. Angah kini sudah berusia 18tahun, ah! apa pengotornya aku nak cerita pasal dia.

Peperiksaan Pertengahan Tahun darjah satu, aku dapat nombor 14. Mama punya kecewa waktu tu, aku pun tak reti nak cakap macam mana. Aku ingat ke mama hanya sedih bila menonton panggung sabtu atau drama-drama tv3, terbukti aku salah. Tiap tahun begitulah, mama yang akan ambil 'report card' dan apa jenis 'keputusan' jika dijemput. Bukan sebab ayah tak dapat turut sama, tetapi ayah lebih gemar menyoal aku secara face to face dirumah, dan juga faktor kerja yang membuatkan ayah tak selalu dapat datang. Tapi sekali kalau dia datang, berdesing muka aku kena penampar, sumpah. Ketika aku berada di darjah 4, memang tak dapat aku lupa peristiwa ni. Periksa entah nombor berapa aku dapat, aku banyak main, kacau makwe-makwe. Eleh, cikgu-cikgu aku tu macam lah tak pernah main surat-surat waktu kecik-kecik dulu. "anak saya macam mana disekolah ye cikgu?" tanya ayah aku pada guru kelas aku Cikgu Masleha. Aku tahu dah si cikgu ni memang lama dah dendam sumpah seranah pada aku, sebab aku ni murid yang genius bab menjawab. "si zul ni banyak main encik, dia pandai cuma dia banyak main je". PANGGGG!!! satu tamparan pawer hinggap ke pipi kanan aku, sambil diperhatikan rakan-rakan kelas aku yang sedang menunggu giliran untuk mengambil keputusan peperiksaan.

Sejak dari tu, jika ada program sekolah yang memerlukan kehadiran ibu bapa, aku mesti jadi tak tentu arah, nyawa seperti ada di hujung-hujung, sampailah darjah enam. Mama mesti menangis setiap kali aku gagal membanggakan dia dan ayah, mungkin sebab aku ni anak sulung dan mereka tiada pengalaman dalam membesarkan anak. Jadi bagi mereka, gagal disekolah rendah, akan gagal sampai bila-bila.

Makin meningkat dewasa, makin besar tanggungjawab. Begitu jugalah makin besar harapan mama dan ayah pada aku. Kau tahu tak benda yang membuatkan kau resah gelisah selain dari terlepas dragonball hari ahad? Apabila kau diberi harapan yang menggunung tinggi, dia punya seram lain macam. Banyak kali juga aku kecewakan mama dan ayah, namun mereka masih lagi berusaha dan tidak putus asa. Tak dapat kira entah berapa kali aku buat mama menangis, tapi ada yang aku ingat dan ada yang aku tak ingat. Namun, tiap kali mama menitiskan airmata, aku mesti meminta maaf. Tak kisahlah berapa kali sekalipun aku minta maaf, walaupun aku tahu nanti aku akan secara tak sengaja mengecewakan mama lagi, tapi aku tetap minta maaf dengan harapan untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dan aku dapat bau syurga, ececeh!

Aku berusia 18 tahun apabila pertama kali aku memberi hadiah kepada mama, gaji pertama seumur hidup aku. Tak tergambar kebahagiaan yang terpancar diwajah mama pada ketika itu. Mungkin tak seberapa bagi orang lain, tapi bagi mama itulah yang paling berharga dalam hidup dia, sama macam lego gajah yang aku dapat dulu.

Ada satu malam hari tu, setelah selesai solat maghrib bersama keluarga. Aku main-main rambut depan cermin bilik mama, entah kenapa aku berkelakuan sepeti minta kaki dimuka pada ketika itu. Tak perasan pula mama sedang memerhatikan aku sambil baring di katil, mama bersuara "along taknak bagi apa-apa ke dekat mama sempena hari ibu?" dengan nada yang mengusik. Adik-adik aku berada dalam bilik yang sama, aku jadi tak tentu arah bila diajukan soalan sebegitu rupa dihadapan adik-adik. Aku sebagai abang sulung mesti tunjuk pawer. Jadi dengan gaya bujang dan teruna aku membalas "mama nak apa?". Dengan senyuman yang sangat pawer, mama dengan bangga cakap "mama nak anak mama potong rambut, kemas elok sikit mama pandang, tengok adi putra dengan faizal tahir tu, hensem je".

Wahh! lain macam pula permintaan mama kali ni, biasa mama minta untuk aku belajar rajin-rajin saja, kali ni sudah menyentuh isu peribadi Adi Putra dan Faizal Tahir pula. Melodi tv3 ni secara perlahan-lahan dia ubah mama jadi aneh. Ah!

Aku sayang mama, kalau boleh semua permintaan  mama aku nak tunaikan. Lagipun mama mana pernah minta banyak dari aku selain dari belajar sungguh-sungguh dan jangan usik adik-adik. Bab usik adik-adik tu kadang-kadang aku buat juga, kau tahu nikmat jadi anak sulung? ha tu lah satu-satunya kau dapat guna kuasa, kahkahkah!

Aku mula jadi keliru, dah tak dengar dah bunyi tv, suara adik-adik bising sudah jadi samar-samar. Potong rambut ni satu permintaan yang luar biasa juga sebenarnya, aku jadi bingung, hati jadi serba tak kena. Depan adik-adik pula tu, aku taknak jadi anak derhaka dan takkan aku nak balas dengan jawapan yang dapat menjatuhkan maruah aku sebagai anak sulung.

Jengjengjeng! "ma, along tak dapat lagi hadiah hari jadi along last month" otak aku mula berfungsi secara spontan, sambil tersenyum aku ajukan soalan itu pada mama. "Badan dah macam bapak orang pun tak malu lagi mintak hadiah, along nak apa?" mama aku balas dengan tenang. Kemudian dengan penuh konfiden.. "Along nak simpan rambut along ni, taknak potong. Along nak rambut along stay macam ni je sampai along sendiri ready nak potong".

Mama tersenyum sambil menggelengkan kepala. Yes! aku genius.

Love You Mama!! <3 

*nanti aku turun bawah, aku tau aku akan kena bebel sebab tak mandi lagi dan asyik terperap dalam bilik. Biarlah, aku tau suatu hari nanti aku akan rindu bebelan mama. Mama bukan tahu pun aku sedang mengumpat dia dalam blog ni. Kihkihkih.



No comments:

Post a Comment